Dewasa ini, kerangka sepeda diperbuat dari aluminium dan bahan komposit seperti gentian fiber. Susur galur sepeda dan semua barangan dan alatan moden bermula sebelum penciptaan kenderaan beroda pacuan manusia lagi, iaitu penemuan cara memproses besi kepada keluli secara moden, yang mencetuskan revolusi industri. Pada masa itu, manusia bergantung harap pada keluli dan besi untuk hampir semua barangan dan alatan yang mereka gunakan.
Kerangka sepeda sebelum ini menggunakan keluli. Keluli mudah dilentur dan ia sangat kuat berbanding besi tuang. Industri keluli amat berkait rapat dengan industri sepeda. Ini adalah kerana Nottingham merupakan pusat industri berasaskan besi dan keluli di England sejak 150 tahun dahulu. Malah, syarikat gergasi keluli, TI, mengambilalih syarikat Raleigh pada dekad 1950an.
Pada kerangka sepeda Raleigh, Rudge, Humber, Hercules dan Triumph keluaran pasca 1950an, kerangka tersebut menggunakan jenis keluli “2030”. Ini berlaku selepas pengambilalihan Raleigh oleh syarikat TI. Kod kerangka-kerangka sepeda merupakan sesuatu yang wajib diketahui oleh pekedai-pekedai dan pengedar sepeda. Kod-kod tersebut membezakan antara kerangka “heavy duty”, “roadster” dan kerangka khas yang diperbuat dari aloi (aluminium).
Kerangka aluminium merupakan kerangka edisi terhad yang amat sukar didapati, bukan sahaja di tanah air, ia juga sangat sukar didapati di England. Semasa saya di England baru-baru ini, saya sempat mengunjungi sebuah pertunjukan kereta, motorsikal dan sepeda antik dan klasik. Saya mendapati, dari hampir 100 buah sepeda yang dipamerkan, hanya sebuah sahaja yang mempunyai kerangka aluminium.
Menurut seorang pengedar sepeda yang saya temui, kerangka aluminium atau kerangka alloy/aloi ini hanya dikeluarkan atas permintaan khas atau sebagai hadiah kepada pengedar yang berjaya mencapai sasaran jualan tertinggi. Pada pertandingan sepeda klasik yang diadakan di Shah Alam pada 1999, kurang dari 10 buah sepeda rerangka aloi yang menyertai pertandingan tersebut.
Menurut seorang pengumpul sepeda yang saya temui di England sewaktu lawatan saya tempoh hari, sepeda kerangka aloi ini amatlah berharga kerana ia hanya dikeluarkan pada tahun 1949 sempena ulangtahun jubli emas (50 tahun) syarikat Raleigh. Rerangka aloi hanya dikeluarkan dengan jenama Raleigh sahaja. Spefikasi sepeda kerangka aloi ini ialah kerangka berukuran 22”, ‘fork lock’, ‘all alloy frame’ dan jejari aloi untuk rim 28” jenama Dunlop [rim lipat, bukan rim stail Westwood]. Sepeda ini hanya dikeluarkan dalam warna Green Enamel dan full gold lining sahaja.
Kerangka menarik yang lain ialah kerangka keluaran khas Rudge edisi kromium (chrome). Kerangka chrome ini hanya dikeluarkan dengan ukuran 21” untuk jenama Rudge sahaja. Kerangka-kerangka ini hanya dipasarkan di Amerika Syarikat sahaja.
Bagi peminat dan pengumpul sepeda di tanah air, sering kali kita gunakan terma sepeda 26” dan 28” untuk membezakan kerangka-kerangka sepeda koleksi masing-masing. Ukuran tersebut hanya merujuk kepada ukuran diameter roda sepeda sahaja. Akan tetapi, kerangka (frame) sepeda mempunyai ukurannya yang tersendiri.
Kerangka sepeda yang dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar sepeda di England yang dipasarkan di tanahair ialah kerangka ‘Sports’ dan ‘Roadster’ yang berukuran ” 20” [Junior], 21” [Sports], 22” [Roadster] dan 23” [Heavyduty]. Kerangka berukuran 20” digunakan untuk sepeda Junior yang menggunakan rim berdiameter 24”. Sepeda Sports [Raleigh, Humber, Rudge dan Triumph] menggunakan rim berukuran 26”. Manakala sepeda Roadster menggunakan kerangka 22” dan rim bersaiz 28”. Sepeda Heavyduty, yang menggunakan rim 28” menggunakan kerangka berukuran 23”.
Di England, untuk menentukan saiz kerangka ‘Sports’ dan rim yang digunakan agak sukar. Ini adalah kerana, setiap sepeda yang dijual di England, ia ditentukan oleh ketinggian pembeli asal sepeda tersebut. Semasa lawatan saya, saya dapati ada sepeda Sports yang berukuran 21”, 22” dan 23” dan menggunakan rim berukuran 26”.
Apa yang membuatkan sepeda British selesa dikayuh? Jawapannya kita boleh dapati dari binaan kerangka sepeda tersebut. Binaannya yang panjang (long wheelbase), ketinggian yang sederhana dengan ukuran sudut 68 darjah dan keutuhan binaannya menyebabkan sepeda British amat popular sehingga ke hari ini.
Diharapkan perkongsian informasi dan fakta tadi dapat dimanfaatkan oleh semua peminat dan pengumpul sepeda. Sebarang komen dan fakta susulan adalah amat dialu-alukan dari semua.
Terima kasih kepada KSTKPB dan penulis artikel kerana memberi kebenaran memaparkan Artikel klinik basikal ini didalam blog KPBKM untuk perkongsiaan ilmu.
Sumber dari:
Khazanah Sepeda Tua KPB
Baju Tshirt Raleigh Crossframe-RM45 termasuk poslaju
12 years ago
No comments:
Post a Comment