Mukadimah

Blog Komuniti ini dibuka untuk mengeratkan lagi salam tali silaturahim dan mendalami perkongsian ilmu dengan semua pemilik basikal klasik di Malaysia.Jadilah pemilik basikal klasik yang berilmu.
PENGUMUMAN

Kepada semua pemilik & peminat basikal klasik.

Jika anda ingin melampirkan bahan atau info mengenai basikal untuk dikongsikan dengan semua peminat basikal bolehlah emailkan kepada : kpbk.malaysia@gmail.com

atau peminat boleh layari forum komuniti seperti dibawah :

Forum Komuniti Pemilik Basikal Malaysia telah dibuka.
Klik
Sini untuk mendaftar.

Perbagai topik boleh dibincangkan.


Harap maklum.

Terima Kasih


Saturday, August 29, 2009

Sejarah Basikal

Sepeda memainkan peranan yang penting dalam sejarah tamadun moden manusia. Sukar untuk dibayangkan bagaimanakah dunia kita tanpa kewujudan sepeda. Dari bandar-bandar universiti di Amerika Syarikat hinggalah ke Bombay, India dan Beijing di China, sepeda masih lagi menjadi nadi kehidupan, dari kenderaan yang berkos rendah untuk pelajar-pelajar universiti hinggalah ke kenderaan mengangkut barangan dan penumpang.

Sejak kecil, saya amatlah kagum dengan sepeda melalui fakta yang dimana sepeda merupakan daya penggerak bagi manusia mencipta kenderaan yang mampu membawa manusia pergi lebih jauh lagi. Peugeot, pengeluar kereta dari Perancis bermula dengan mengeluarkan sepeda dan sehingga kini masih lagi mengeluarkan sepeda. Pencipta kapal terbang, Wright bersaudara membuka bengkel sepeda sebelum mereka mula membangunkan idea untuk mencipta kapal terbang yang pertama.

Apabila blog Khazanah Sepeda Tua muncul, saya dapati banyak bahan-bahan menarik yang mereka ingin kongsi bersama-sama peminat-peminat sepeda tua yang lain di seluruh pelusuk tanahair. Apabila blog KST menjemput saya untuk berkongsi sedikit maklumat untuk tatapan bersama, saya tergerak untuk mencoretkan tentang apa yang saya dapati melalui pembacaan dan kajian saya mengenai sepeda. Sebagai permulaan, artikel ini akan menyingkap serba ringkas sejarah awal evolusi sepeda.


Rekaan asal draisienne Baron von Drais

Konsep sepeda, yang pertama dicipta ialah pada tahun 1816-1818 oleh seorang bangsawan berbangsa Jerman, iaitu Baron von Drais de Sauerbrun von Baden Wurtenburg. Ciptaannya dipopularkan di Perancis (Perancis pada masa lampau merupakan kota fesyen dan stail bagi benua Eropah) dan ia diberi nama draisienne, sempena nama penciptanya. Orang Inggeris telah memperbaiki konsep rekaan draisienne dan ia diberi nama hobby horse atau dandy horse.


Hobby Horse yang diperbaiki oleh orang Inggeris

Rekaanya mudah dan ringkas, sebatang alang kayu yang disambungkan kepada dua roda yang bersaiz yang sama dan dikemudikan oleh sebatang besi yang disambungkan ke roda hadapan. Hobby horse ini seakan-akan satu alat yang memudahkan seorang lelaki budiman (gentleman) untuk berjalan. Di Britain dan Amerika Syarikat, hobby horse ini mendapat sambutan yang amatlah meluas dikalangan golongan kelas atasan. Ada peniaga yang mengambil peluang untuk mengadakan kelas cara-cara untuk menunggang hobby horse.

Sungguhpun dipopularkan oleh orang Inggeris, David G. Wilson, seorang profesor dari MIT membuat andaian dimana von Drais ataupun pembantunya yang mencipta rekaan sepeda yang pertama yang boleh diimbangi ketika menuruni bukit. Maka beliau menyimpulkan bahawa orang yang layak dikenali sebagai pencipta sepeda yang pertama ialah Baron von Drais.



Velocipede kayuhan tangan ciptaan Louis Gompertz, 1821

Seorang pencipta dari England, Louis Gompertz, pada 1821 mengolah dan memperbaiki hobby horse dengan memasang set gear pada roda hadapan dan digerakkan dengan menggunakan palang besi dengan gerakkan seperti dayungan perahu. Mesin tersebut dipanggil sebagai velocipede. Ianya agak lucu, akan tetapi velocipede ciptaannya mampu mencecah kelajuan 10 hingga 14 bsj (yang mana ia agak laju pada masa itu!).


Velocipede ciptaan Kirkpatrick Macmillan, 1839.

Ciptaan tersebut tidak berubah sehinggalah pada tahun 1839, dimana seorang pencipta berbangsa Scots, Kirkpatrick Macmillan, mencipta velocipede pertama yang dimana penunggangnya tidak perlu menjejakkan kakinya ke tanah. Rekaannya ialah dengan meletakkan dayung yang disambungkan pada aci yang menggerakkan roda belakang. Untuk mendemonstrasikan ciptaannya, beliau berkayuh sejauh 140 batu dari Glasgow ke Dumfries, Scotland. Dalam perjalanannya yang mendapat liputan media pada masa itu, beliau melanggar seorang budak dan insiden tersebut menyebabkan Macmillan menjadi orang yang pertama menerima saman trafik! Namun, kegilaan orang Inggeris pada keretapi pada masa itu menyebabkan Macmillan tidak menjual ciptaannya itu, sebaliknya beliau merekabentuk dan membina kenderaan berasaskan enjin wap.

Pada 1860an, Pierre dan Ernest Michaux dari Perancis mencipta rekaan baru yang lebih baik dari hobby horse dan velocipede. Rekaan asas Michaux ialah meletakkan sepasang crank pada hab roda hadapan. Ia dikenali sebagai boneshaker. Mereka merupakan pengilang sepeda yang pertama. Pada tahun 1862, mereka menghasilkan 142 buah dan jumlah tersebut meningkat kepada 400 buah pada 1865. Mereka juga merupakan pengeluar pertama yang mempromosikan barangan keluaran mereka melalui demonstrasi umum. Apabila mereka berpindah ke Amerika Syarikat, boneshaker mendapat popularity di sana pada akhir dekad 1860an.



velocipede ciptaan Michaux bersaudara, 1861.

Paris merupakan bandaraya pertama yang mengadakan pameran sepeda pada 1869, dan pada tahun yang sama Le Velocipede Illustre, sebuah jurnal sepeda yang pertama, menganjurkan pertandingan lumba sepeda jarak jauh yang formal yang pertama didunia. Perlumbaan sejauh 130 kilometer ini bermula dari Paris dan berakhir di bandar Rouen. 203 peserta termasuk 6 pelumba wanita mengambil bahagian dan pertandingan ini dimenangi oleh pelumba dari England, James Moore. Perlumbaan ini merupakan asas bagi perlumbaan basikal yang terkemuka didunia Le Tour de France.

Perang Perancis-Jerman pada 1870-1871 menyebabkan industri sepeda di Perancis merosot seketika dan ia beralih ke England. Pada masa itu, satu revolusi rekaan sepeda telah berlaku di England oleh seorang pereka dan pengurus kilang mesin jahit yang bernama James Starley.

James Starley dilahirkan di Sussex pada 1831. beliau merupakan anak seorang peladang yang kreatif. Apabila beliau berhijrah ke kota London pada 1841, beliau sudahpun mencipta beberapa alatan seharian seperti tempat letak lilin yang boleh laras, bidai tingkap yang boleh dilaraskan dengan satu tali dan lain-lain. Di kota London, beliau mula berkerja sebagai tukang kebun dan mula berjinak-jinak dengan mesin-mesin dan sebagainya. Pada usia 25 tahun, beliau berkerja sebagai mekanik. Beliau memperbaiki rekaan mesin jahit dan akhirnya mencipta mesin jahit rekaannya sendiri.


‘The Ordinary’ ciptaan James Starley yang popular dengan nama penny farthing.

Beliau menjadi pengurus kilang Coventry Machinist’s Company, yang dimana mesin jahit ciptaanya dihasilkan. Kilang yang sama turut menghasilkan boneshaker rekaan Michaux. Beliau memperbaiki rekaan Michaux dan menghasilkan model-modelnya sendiri. Beliau memperbaiki rekaan Michaux dengan memperbesarkan roda hadapan sehingga ia menjadi 40 inci dan 60 inci. Model ini dipanggil ‘the ordinary’ dan ia lebih popular dengan gelaran penny farthing oleh kerana perbezaan saiz roda hadapan dan belakang seakan-akan duit syiling Inggeris pada masa dahulu, iaitu penny dan farthing.


Lukisan oleh Brian Walker yang menggambarkan Thomas Stevens dalam perjalanan merentas benua Amerika Utara, 1884

Penny farthing menjadi popular dengan sekelip mata. sungguhpun ia nampak sukar dinaiki dan diimbangi, namun, ia selesa dikayuh bagi mereka yang sudah mahir menunggangnya. Pada 1883, J.H Adams berjaya berkayuh sejauh 242 ¼ batu dalam tempoh 24 jam dengan penny farthingnya. Thomas Stevens, berjaya merentas benua Amerika Utara dengan penny farthingnya setahun kemudian.

KE ARAH REKABENTUK BASIKAL MODEN

Sungguhpun penny farthing popular, namun ia mempunyai satu masalah: soal keselamatan penunggang dan pengguna jalan raya yang lain. Ia telah mendorong seorang lagi pencipta dari England yang bernama H.J Lawson untuk mencipta sepeda berkayuh pacuan roda belakang pada tahun 1879 dan terma ‘safety bicycle’ mula digunakan. Namun, popularity penny farthing menyebabkan sepedanya kurang mendapat sambutan.


Sepeda Rover Safety, keluaran tahun 1884 oleh John Kemp Starley.

Ia mula mendapat nama apabila anak saudara kepada pencipta penny farthing, iaitu John Kemp Starley memperkenalkan Rover Safety Bicycle pada tahun 1884. Rekabentuknya seakan-akan sepeda yang kita kenali kini, cuma kerangkanya tidak berbentuk intan (diamond frame).


Sepeda Humber, 1896

Pada tahun 1896, Humber & Co. mengeluarkan sepeda berkerangka berbentuk intan (diamond frame) yang pertama dan bentuk kerangka ini menjadi standard bagi kerangka sepeda yang mendatang. Menurut Archibald Sharp dalam bukunya bertajuk ‘Bicycles and Tricycles: An Elementary Treatise on Their Design and Construction’ terbitan 1896 menyatakan yang kerangka diomand ini merupakan kerangka unggul dan yang terbaik.

Pelbagai jenis rekaan brek dicipta bagi sepeda - sepeda terdahulu. Ia juga sejajar dengan rekabentuk gear derailleur yang primitive yang pertama pada tahun 1869. Pada tahun-tahun 1901-1906, J.J.H Sturmey dan J. Archer mempatenkan internal hub atau epicyclic gear. Sungguhpun ia tidak popular pada mulanya, namun apabila ia ditawarkan sebagai opsyen bagi sepeda - sepeda keluaran Raleigh pada tahun-tahun 1920an, ia menjadi popular sehingga kini.

Dalam artikel seterusnya, saya akan mengupas sejarah sepeda Raleigh, jenama sepeda yang paling popular sepanjang zaman.

Semoga berkongsian sejarah ini dapat menambahkan lagi pengetahuan kita mengenai keunikan sepeda.

Artikel ini dioleh oleh saudara Pian.Beliau adalah Pengasas "Kelab Basikal Klasik KPB".Setelah KBKKPB dibubarkan,Beliau mengembeling tenaga bersama ahli baru untuk menghidupkan semula kelab basikal dengan nama "Khazanah Sepeda Tua KPB".Beliau banyak menyumbang dalam penulisan.Sekarang Beliau bertugas sebagai Pensyarah diIPB.


Terima kasih kepada KSTKPB dan penulis artikel kerana memberi kebenaran memaparkan artikel basikal ini didalam blog KPBKM untuk perkongsiaan ilmu.

Sumber dari:
Khazanah Sepeda Tua KPB

No comments: